Serba

Powered By Blogger

Rabu, 8 Julai 2009

NRT

NRT :
Keputusan yang diperolehi oleh murid-murid itu dibandingkan dengan keputusan murid yang lain yang mengambil ujian yang sama atau kedudukan seseorang murid boleh dibandingkan dengan murid lain boleh dalam bilik darjah yang sama atau dalam sesebuah negara.
Ujian atau penilaian yang dibina adalah bertujuan untuk mendapatkan perbezaan yang maksimum antara murid-murid berkenaan. Bagi memastikan tercapai tujuan berkenaan, tahap kesukaran item dikawal agar tidak terlalu sukar dan terlalu mudah. Lazimnya kesukaran soalan adalah berdasarkan nisbah 25% mudah, 50% sederhana dan 25% sukar. Keputusan daripada penilaian atau ujian akan mencerminkan siapa lebih pandai atau di mana kedudukan seseorang pelajar dalam sesuatu bilik darjah atau sekolahnya.
Ujian rujukan norma ini tidaklah memberikan maklumat secara terperinci tentang kemahiran seseorang murid. Sebaliknya apa yang diberikan penekanan ialah tentang siapa lebih baik daripada siapa. Keadaan ini memerlukan item penilaian benar-benar dapat memastikan perbezaan (mendiskriminasikan) antara pelajar.
Menurut Popham (1981), ujian rujukan norma digunakan bagi menentukan status seseorang murid berpandukan prestasi murid yang lain dalam sesuatu ujian berkenaan. Misalnya, seorang murid dapat menjawab 50 item dengan betul daripada 60 butiran ujian. Skor mentah murid ini ialah 50. Kedudukan murid ini dibandingkan dengan calon lain dengan menggunakan satu jadual norma. Jadual berkenaan akan menunjukkan kedudukan calon dalam bentuk pangkat peratusan berbanding dengan satu kumpulan norma yang ditetapkan. Andaikan skor mentah tadi memberikan bacaan pangkat peratusan ke-83 mengikut jadual norma, maknanya muri tersebut berprestasi melebihi atau menyamai 82 peratus daripada murid-murid lain dalam kumpulan norma.
Dalam konteks penilaian ini, jika ramai murid yang mendapat skor yang rendah, markah lulus lazimnya cenderung akan rendah. Begitu juga sebaliknya. Dengan itu, ada kemungkinan murid yang lemah akan lulus kerana terdapat murid-murid lain yang lebih lemah.
CRT :
Ujian atau penilaian rujukan kriteria memberikan penekanan yang berbeza daripada ujian rujukan norma. Matlamat ujian ini bukan untuk membandingkan prestasi antara murid. Tetapi lebih menumpukan kepada perbandingan kepada kriteria yang sama yang telah ditetapkan sama ada tercapai atau tidak. Pendekatan ini dipelopori oleh Glaser pada tahun 1963 (dipetik daripada Popham, 1971). Menurut Glaser (1973) kriteria yang digunakan tidak bermaksud akhiran sesuatu kemahiran, tetapi kriteria itu bergantung kepada penetapan oleh guru, yakni pada aras mana yang ingin guru tetapkan kriteria yang harus dicapai oleh murid-murid.
Menurut Popham (1981) ujian rujukan kriteria digunakan untuk menentukan status individu berhubung domain tingkah laku yang didefinisikan. Ujian rujukan kriteria merujuk kepada satu set tingkah laku kriteria yang telah ditetapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan